
BEAUFORT: Dua individu masing-masing penunggang dan pembonceng maut selepas motosikal dinaiki terbabas sebelum merempuh pokok di Jalan Kampung Laba Kota Klias di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi dalam kejadian jam 4.15 petang itu.
“Siasatan mendapati, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal itu dalam perjalanan dari arah Kampung Laba menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Klias.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal terbabit hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri lalu melanggar tiang solar dan melanggar pokok,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, impak kemalangan membabitkan penungang dan motosikal tercampak ke atas jalan manakala pembonceng tercampak ke bahu jalan sebelah kanan.
“Penunggang bersama pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa memandu dan patuhi undang-undang di jalan raya serta pastikan kenderaan dalam keadaan baik semasa memulakan perjalanan,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost