UMNO Tawau Nafi 600 Ahli Keluar Parti

Rushamizan (duduk tengah) ketika mengadakan sidang media, di sini, hari ini.

TAWAU: UMNO Tawau menafikan laporan sebanyak 600 ahlinya keluar parti itu dan menyertai Parti Warisan (WARISAN) seperti didakwa bekas Timbalan Ketua UMNO Tawau, Sarman Amat Simito, hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Tawau, Rushamizan Rustam berkata, dakwaan itu tidak betul, sebaliknya hanya kira-kira 50 orang sahaja yang bertindak keluar parti bersama Sarman.

Katanya, UMNO Tawau juga menafikan kenyataan semua ahli daripada lapan cawangan yang diumumkan oleh Sarman bertindak keluar parti.

“Saya berpendapat ini adalah tindakan yang bersifat peribadi selain cubaan mensabotaj dan melemahkan UMNO melalui cara yang tidak telus.

“Sebenarnya yang keluar parti itu hanya beberapa orang sahaja dan mereka adalah ahli keluarga terdekat bekas Timbalan Ketua UMNO Tawau berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, UMNO Tawau masih kuat dan kukuh, malah mempunyai pemimpin serta ahli yang setia sejak dari dulu lagi.

“Tindakan Sarman keluar parti sedikit pun tidak melemahkan UMNO dan pengundi di Tawau juga sudah boleh menilai pemimpin yang setia dan layak diundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Ahli Jawatankuasa Pemuda yang mengikut jejak langkah beliau juga hanya dua orang sahaja dan itu pun keluarga terdekatnya,” katanya.

Rushamizan berkata, tindakan Sarman keluar parti bukan sesuatu yang mengejutkan walaupun sebelum ini dia memegang jawatan tinggi dalam UMNO Tawau.

“Saya boleh cakap tindakannya itu bersifat peribadi kerana orang yang ikut serta dengan beliau hanya keluarga rapatnya sahaja.

“UMNO Tawau ingin menegaskan bahawa parti keramat ini terus kukuh dan relevan kepada semua golongan pengundi di daerah ini,” katanya.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Tawau, Jumardi Sakka; Bendahari Pemuda UMNO Tawau, Dr Elmiariezan Ardan; Setiausaha Pemuda UMNO Tawau, Muhamad Najhip Siddek dan Ketua Puteri UMNO Tawau, Noratika Awang.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *