Pejalan Kaki Kurang Siuman Maut Dilanggar

Kenderaan yang digunakan pemandu terbabit rosak di bahagian hadapan akibat kemalangan berkenaan.

TAWAU: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman maut selepas dilanggar ketika cuba melintas jalan di Batu 9 Jalan Apas, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10.15 malam.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun telah melanggar seorang pejalan kaki yang cuba melintas jalan.

“Kejadian berlaku ketika pemandu terbabit menuruni bukit menuju ke bandar Tawau di jalan selekoh dan gelap, tiba-tiba seorang lelaki melintas dari arah bahu jalan sebelah kiri.

“Pemandu tidak sempat mengelak dan melanggar pejalan kaki terbabit yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa yang disyaki seorang gelandangan dan kurang siuman itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Jasmin meminta orang ramai atau individu yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *