Mayat Mangsa Baham Buaya Ditemukan Tidak Sempurna

Mayat lelaki mangsa baham buaya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

KINABATANGAN: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika memukat ikan di sungai sebuah ladang di sini, semalam, ditemukan pagi tadi dalam keadaan tidak sempurna dipercayai dibaham buaya.

Mayat lelaki berusia 25 tahun itu ditemukan oleh pasukan penyelamat pada jam 10.45 pagi, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.28 pagi, semalam.

Katanya, sepasukan tiga anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dan menjalankan operasi.

“Sebaik tiba di lokasi, operasi pencarian dijalankan dan pada 10.45 pagi, semalam mangsa berjaya ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat.

“Mangsa ditemukan terapung pada jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dan diserang buaya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.53 tengah hari,” katanya.   

Terdahulu, mangsa dikatakan turun ke sungai berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, untuk memungut hasil ikan pada pukatnya, namun dilaporkan tidak pulang sehingga petang.

Rakan mangsa yang bimbang segera mencari di sekitar sungai namun hanya menemukan motosikal, pakaian serta pukat ikan yang koyak kemungkinan mangsa diserang buaya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *