Polis Tawau Selesai Kes Bunuh Dalam Tempoh Kurang 24 Jam

Suspek warga asing (baju hijau) disyaki terbabit dengan kes bunuh di Kampung Ranggu Cina, Batu 8, Jalan Apas Tawau malam semalam, ditahan polis kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi, di lokasi kejadian.

TAWAU: Polis daerah ini membuktikan kemampuan mereka apabila menyelesaikan satu kes bunuh di Kampung Ranggu Cina, Batu 8, Jalan Apas, dekat sini, dalam tempoh 24 jam.

Kejayaan itu hasil penahanan seorang lelaki warga asing 12 tengahari tadi, kira-kira setengah jam selepas aduan mengenai kes membabitkan lelaki berusia 33 tahun itu dibuat di Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata penahanan dibuat susulan aduan diterima daripada individu

memaklumkan adik lelakinya dibunuh oleh seorang lelaki dikenalinya.

Katanya, kejadian kira-kira jam 8 malam semalam sebelum pengadu tampil membuat laporan di Balai Polis Inanam kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Balai Polis Sri Indah bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui satu mayat lelaki dengan kesan tetakan pada bahagian kepala dan badan di dalam rumah terbabit.

‘Pihak polis kemudiannya berjaya menangkap suspek selain menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Jasmin berkata hasil siasatan lanjut mendapati suspek adalah seorang warga asing berumur 31 tahun dan bekerja sebagai buruh kasar di sebuah kebun di Kampung Ranggu Cina.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan keluarga suspek.

“Permohonan perintah reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Tawau esok, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *