
PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motorsikal dinaiki terbabas masuk ke dalam parit di hadapan Kem Lok Kawi di sini.
Kejadian jam 5.50 pagi itu juga menyebabkan seorang lagi individu mengalami kecederaan parah.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, panggilan kecemasan berkenaan kejadian diterima pada jam 5.51 pagi.
Katanya, sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bergegas ke lokasi bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Semasa tiba di lokasi, terdapat dua orang mangsa yang terlibat, yang mana seorang mangsa lelaki meninggal dunia manakala seorang lagi cedera.
“Pasukan bomba bertindak mengambil mangsa yang berada di dalam parit dan di serahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas disahkan meninggal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Queen 1 (HQE1) oleh Ambulans KKM sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini maklumat mangsa belum diperolehi dan operasi ditamatkan jam 6.23 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost