KINABATANGAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di sungai Kampung Sobak Perpaduan, di sini semalam.
Mangsa berusia 35 tahun bersama anaknya 10 tahun melakukan aktiviti memukat di sungai berkenaan selepas mengambil buah kelapa sawit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11.07 malam.
Katanya, seramai empat anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi mendapat maklumat di lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapat maklumat awal bahawa mangsa hilang ketika melakukan aktiviti memukat ikan di sungai bersama anaknya.
“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan hilang selepas diserang buaya, manakala anaknya pula selamat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba tidak dapat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) semalam disebabkan cuaca hujan.
“Pasukan bomba menjalankan operasi SAR bermula jam 10.30 pagi tadi dan setakat ini mangsa belum ditemukan,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost