KINABATANGAN: Lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari pencawang elektrik, pagi tadi.
Mayat mangsa yang berusia 31 tahun itu ditemukan oleh orang awam kira-kira 350 meter dari rumahnya kira-kira jam 10.52 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi kejadian.
“Mangsa meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari pencawang elektrik dan mayat terbabit seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11 pagi,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu ketika hendak menuju ke kedai milik neneknya di Kampung Lot M, di sini.
Pasukan bomba yang menerima laporan mengenai kejadian itu segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost