Penunggang Motosikal Maut Kemalangan Babitkan Tiga Kenderaan

Keadaan motosikal mangsa yang remuk selepas bertembung dengan kereta MPV dalam kejadian itu.

TAWAU: Penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Lapangan Terbang Tawau, di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 33 tahun yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima makluman berkenaan kemalangan itu pada jam 10.45 malam.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 10.30 malam dan membabitkan tiga buah kenderaan.

“Kejadian berlaku ketika pemandu e-hailing berusia 38 tahun yang memandu sebuah kereta pelbagai guna (MPV) menuju ke Lapangan Terbang Tawau untuk mengambil penumpang.

“Manakala kereta jenis sedan dipandu seorang wanita berusia 36 bersama penunggang motosikal dari arah yang sama iaitu dari Lapangan Terbang Tawau,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal cuba memotong kereta berkenaan dengan memasuki laluan bertentangan.

Namun katanya, jarak yang terlalu dekat motosikal mangsa bertembung dengan kereta MPV lalu terhumban ke cermin hadapan kereta sedan berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tercampak sejauh 21.6 meter ke bahu jalan sebelah kiri dari arah Lapangan Terbang Tawau dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu kereta sedan dan kereta MPV pula hanya mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan berkenaan,” katanya.

Jasmin berkata, polis akan meneruskan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *