LAHAD DATU: Seorang lelaki ditahan bersama rokok seludup bernilai lebih RM300,000 dalam pemeriksaan terhadap sebuah lori di tepi jalan di Jalan Bypass Lahad Datu, Batu 7, di sini, semalam.
Lori yang dipandu suspek berusia 28 tahun itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 5.30 petang.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, pemeriksaan lanjut dijalankan di bahagian belakang lori berkenaan dengan disaksikan suspek sendiri.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 10,213 bungkusan rokok jenis Gunung Gandum disyaki diseludup dan tidak mempunyai cukai kastam.
“Suspek kemudian ditahan dan kenderaan serta barang-barang rokok dirampas kerana disyaki diseludup masuk ke negara ini.
“Nilai rokok yang dirampas berjumlah RM306,390 manakala nilai keseluruhan termasuk lori berjumlah RM351,390,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, suspek dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tujuan dokumentasi.
“Siasatan awal mendapati rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk dipasarkan di daerah ini.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost