Lelaki Warga Asing Mangsa Gaduh Meninggal Dunia

Hasan Majid

BELURAN: Seorang pekerja buruh ladang maut selepas seminggu dirawat di hospital akibat terbabit pergaduhan dengan rakannya di sebuah ladang di Paitan, 8 Jun lalu.

Mangsa lelaki warganegara asing berusia 43 tahun yang mengalami kecederaan parah itu disahkan meninggal dunia pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati mangsa bergaduh dengan seorang rakan sekerjanya berpunca daripada selisih faham.

“Mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Beluran sebelum disahkan meninggal dunia pada 14 Jun lalu.

“Suspek warga asing berusia 25 tahun berjaya diberkas pada hari kejadian. Pada awalnya kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan parah.

“Namun mangsa yang meninggal dunia dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam sidang media di IPD Beluran, semalam.

Dalam pada itu, Hasan berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga asing berusia 41 tahun kerana terbabit pergaduhan dengan seorang lelaki sehingga parah di sebuah ladang di Telupid.

Katanya, kejadian itu berlaku pada 14 Jun dipercayai berpunca daripada selisih faham suspek dengan mangsa.

“Mangsa warga asing berusia 22 tahun yang juga rakan sekerja suspek masih menerima rawatan di Hospital Beluran.

“Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah,” katanya.

Sementara itu, Hasan mengingatkan orang ramai bahaya pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kejadian jenayah yang berlaku di daerah ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *