Hajiji Arah JANS Tangkap Dan Dakwa Di Mahkamah Pencuri Air Di Sabah

Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diarah supaya menggunakan undang-undang di bawah bidang kuasanya untuk memberkas dan membawa pencuri air di negeri ini ke mahkamah.

Arahan itu dikeluarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berikutan kes kecurian air yang tinggi berdasarkan penyambungan paip haram yang banyak di kawasan setinggan seperti didedahkan pihak JANS.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap pelaku perbuatan itu memandangkan penyambungan paip haram dikenal pasti sebagai punca utama air tidak berhasil (NRW) yang mencecah 60 peratus di Sabah.

“Tangkap mereka dan dakwa di mahkamah. Begitu juga kita mahu kilang-kilang yang didapati mencuri air didakwa di mahkamah berbanding hanya mengenakan mereka kompaun.

“Tindakan yang tegas mustahak diambil terhadap mereka yang mencuri air kerana penyambungan haram dikenal pasti sebagai punca utama 60 peratus NRW di Sabah, iaitu yang tertinggi di negara ini,” katanya pada mesyuarat pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri Sabah, di sini, hari ini.

Dalam kenyataan berasingan hari ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya mendedahkan sebanyak 679 penyambungan paip haram dipotong pihak JANS antara Januari hingga Mei lalu, kebanyakannya di Sepanggar.

Sementara itu, Hajiji berkata Kabinet negeri juga memanggil JANS bagi memberikan taklimat situasi bekalan air berikutan perhimpunan #KamiMahuAir Sabah dianjurkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang meminta penyelesaian isu air pada Jumaat lalu.

“Kabinet negeri diberi taklimat bahawa sepanjang dua bulan lalu, UMS hanya mengalami ketiadaan air satu atau dua hari disebabkan paip pecah.

“JANS membekal antara empat juta liter sehari (MLD) hingga tujuh MLD setiap hari, ditambah lagi dengan telaga tiub yang boleh membekal satu MLD setiap hari di UMS.

“Jadi, saya meminta Naib Canselor UMS untuk melihat perkara ini, cari punca kenapa air tidak sampai kepada pelajar,” katanya.

Katanya, Kabinet negeri turut diberi taklimat mengenai bekalan air ke UMS menjadi terhad disebabkan banyak penyambungan haram dikesan di lima penempatan setinggan sepanjang laluan menuju ke UMS.

“Sebab itu saya mahu penguatkuasa JANS pergi ke kawasan berkenaan dan memotong penyambungan haram terbabit. Selain itu, ambil tindakan tegas terhadap pelakunya,” katanya.

Hajiji berkata penyambungan paip haram dikesan membekal air ke beberapa kampung yang terletak di belakang kampus UMS, iaitu tanah yang menjadi pertikaian di antara penghuni setinggan dan pemiliknya.

“Mungkin, JANS boleh memasang tangki berkapasiti 500 liter di lokasi terbabit dan kenakan bayaran kepada penduduknya untuk air yang dibekalkan itu.

“Ini boleh menghalang mereka daripada membuat penyambungan semula paip haram di paip air utama,” katanya.

Hajiji menegaskan, tanggungjawab Kerajaan Negeri ialah untuk membekalkan air dan pelbagai usaha sudah dilakukan ke arah itu, tidak seperti yang didakwa pihak pembangkang.

Katanya, Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tuaran juga sudah siap dan kini menunggu pemasangan paip air untuk disiapkan.

“Apabila siap ia akan menyediakan tambahan 160 MLD untuk menampung bahagian utara Kota Kinabalu termasuk UMS dan kawasan sekitarnya.

“Selain itu, kerja-kerja meningkatkan bekalan air di bahagian selatan Pantai Barat yang akan memberi manfaat kepada orang ramai di Papar, Lok Kawi dan Putatan juga sudah bermula lapan bulan lalu dan dijangka siap menjelang 2026.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *