RM5 Juta Diseleweng, UMS Disaran Buat Laporan Polis

Mustapha Sakmud (dua kiri) dan Pengerusi Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi, Nurul Izzah Anwar (dua kanan) semasa perasmian Forum Belia Madani di UMS, Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) diarah membuat laporan polis sekiranya tuduhan jahat yang cuba mengaitkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu dengan penyelewengan dana RM5 juta tidak dihentikan.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud, dana yang diperoleh oleh UMS masing-masing daripada Pejabat Perdana Menteri dan KPT bagi menyelesaikan masalah air di kampus itu telah digunakan dengan sebaiknya dan tiada unsur penyelewengan.

“Duit RM3 juta yang diperuntukkan daripada Pejabat Perdana Menteri dan RM2 juta daripada KPT itu telah diguna sebaiknya untuk membina telaga tiub di UMS ini… dan itulah yang kita dapat iaitu satu juta liter sehari yang menjadi alternatif tambahan kepada sumber air daripada Jabatan Air Negeri Sabah.

“Jadi tidak ada unsur-unsur penyelewengan. Jadi, saya harap jika ada lagi mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan isu ini, saya akan gesa UMS supaya membuat laporan polis,” ujar Mustapha ketika ditemui media selepas merasmikan Forum Belia Madani di UMS pada Sabtu.

Pada masa sama, Mustapha turut mengalu-alukan penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu berkenaan bagi membersihkan imej UMS dan KPT yang cuba dicemari oleh pihak tertentu atas kepentingan politik.

“Saya tidak mahu imej kementerian dan UMS tercemar oleh mana-mana pihak yang cuba memperalatkan isu ini untuk kepentingan organisasi ataupun politik masing-masing.

“Jadi, saya amat tegas dalam isu ini dan saya mahu bagi tahu, mereka boleh ajak SPRM siasat atau tidak tapi saya mahu bagi ketegasan di sini bahawa duit itu diguna sepenuhnya untuk cuba mengurangkan masalah air yang berlaku di dalam kampus ini,” tambah Mustapha.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *