KOTA KINABALU: Kegembiraan sekumpulan pelajar dari Sekolah Indonesia,Kota Kinabalu beriadah di pantai Kampung Bakasan Karambunai bertukar tragedi apabila salah seorang pelajar dari rombongan terbabit lemas di pantai berkenaan.
Mangsa berumur 12 tahun terbabit ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 10.25 pagi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 8.57 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bergerak ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Kejadian membabitkan salah seorang pelajar yang dilaporkan lemas di pantai semasa menjalankan aktiviti riadah dan mandi-manda bersama rombongan Sekolah Indonesia,Kota Kinabalu di Kampung Bakasan, Karambunai, Kota Kinabalu.
“Pasukan bomba menjalankan operasi SAR dengan teknik Surface Water Rescue iaitu pencarian di permukaan air menggunakan Bot Penyelamat di kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya.
Beliau berkata, mangsa berjaya ditemukan pada jam 10.25 oleh Pasukan Bomba di kedudukan 40 meter dari pantai dengan kedalaman dua meter.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost