LAHAD DATU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan semula kes 13 pelajar kolej vokasional di sini yang menghadapi pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Mereka yang berusia antara 16 hingga 19 tahun dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam 21 Mac hingga jam 7.38 pagi 22 Mac lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Prosiding di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dijalankan secara tertutup kerana kes itu membabitkan pesalah di bawah umur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao manakala tujuh daripada 13 remaja lelaki itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye dan Amirul Amin Rashid.
Seorang lagi remaja diwakili peguam Abdul Gani Zelika manakala lima lagi tidak diwakili peguam.
Ram memberitahu pemberita bahawa laporan kimia serta bedah siasat kes itu masih belum siap dan 27 Jun ditetapkan untuk penyerahan dokumen.
Beliau turut memaklumkan pihaknya akan memfailkan jaminan untuk tujuh anak guamnya di Mahkamah Tinggi Tawau esok.
Pada 22 Mac lalu, Mohamad Nazmie Aizzat ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian tubuh di sebuah bilik asrama kolej itu.
Berikutan itu 13 pelajar kolej vokasional itu ditahan reman. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost