Tiga Remaja Hilang Di Ranau Ditemui Di Sandakan

Tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang ditemui selamat di Sandakan.

KOTA KINABALU : Tiga remaja perempuan yang dilaporkan tidak pulang ke rumah di Kampung Kaingaran, Ranau, sejak Jumaat lalu sudah ditemui di Sandakan.

Lorita Satir, 42, mengesahkan anaknya, Roxanne Abbygail, 13, ada menghubunginya dan memaklumkan mereka bertiga dalam keadaan selamat.

“Ketiga-tiga mereka berada di Sandakan dan memaklumkan berada di daerah itu kerana mahu mencari kerja.

“Sekarang pihak polis bawa mereka pulang ke Ranau dan kami sedang menunggu kepulangan mereka,” katanya ketika dihubungi pada malam Selasa.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Roxanne dan dua rakannya, Valensia Mail, 15, dan Christivy Holyen Hamdy, 13, keluar dari rumah kira-kira jam 7.30 pagi untuk mengikuti latihan silat di sebuah sekolah menengah di Ranau.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dilaporkan tidak pulang ke rumah sebelum laporan polis dibuat pada malam Isnin.

Siasatan polis mendapati, ketiga-tiga remaja tersebut dilihat orang awam turun dari sebuah bas mini berwarna putih di Pekan Ranau kemudian dijemput oleh seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Viva yang dipercayai menggunakan nombor plat palsu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Simiun Lomudin turut mengesahkan penemuan ketiga-tiga remaja tersebut dan pihaknya dalam tindakan untuk membawa pulang ke Ranau.

“Kita menerima maklumat penemuan kesemua remaja itu pada jam 5.25 petang tadi.

“Mereka dilaporkan selamat, namun belum ada maklumat lanjut mengenai kejadian ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *