Tiga Termasuk Bayi Maut Kemalangan Di Jalan Semporna-Tawau

Kemalangan membabitkan Perodua Viva dengan Toyota Avanza.

SEMPORNA : Tiga sekeluarga termasuk ibu bersama bayinya berusia sembilan bulan maut, manakala tiga lagi ahli keluarga mereka parah dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Semporna-Tawau, di sini, semalam.

Kemalangan kira-kira jam 4.50 petang itu membabitkan kereta Toyota Avanza dipandu seorang guru lelaki berusia 46 tahun bersama dua penumpang warga China dan Perodua Viva dinaiki enam sekeluarga terbabit.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tiga mangsa terkorban itu disahkan adalah penumpang Perodua Viva yang dinaiki enam sekeluarga dari Kampung Simunul dekat sini.

“Mangsa maut dalam kemalangan itu ialah isteri kepada pemandu Perodua Viva berusia 24 tahun, bayi perempuan dan Ibu saudara mereka berusia 66 tahun yang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Semporna.

“Selain pemandu Perodua Viva (bapa) yang parah di kepala dan patah rusuk kanan, dua lagi anak mangsa masing-masing kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia tujuh dan sepuluh tahun turut parah pada kepala, tangan dan patah paha kanan,” katanya dalam kenyataannya, lewat malam tadi.

Mohd Farhan berkata, insiden berlaku ketika kereta Perodua Viva berkenaan dalam perjalanan pulang dari Tawau menuju ke kediaman mereka di sini, manakala Toyota Avanza dari arah pekan Semporna menuju ke Tawau.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Viva dikatakan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Avanza yang datang dari arah hadapan.

Katanya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat serta orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.

“Pemandu Toyota Avanza tidak mengalami sebarang kecederaan manakala dua lagi penumpang dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Tawau untuk pulang ke negara asal.

“Bagaimanapun, susulan kemalangan itu, guru terbabit ditahan dan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Semporna bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *