Gangguan Elektrik Di KKIA Disebabkan Masalah Teknikal Bangunan – SESB

Idris (kanan) berkata tiada sebarang masalah atau gangguan pada sistem bekalan elektrik daripada pencawang milik SESB yang membekalkan elektrik ke KKIA.

KOTA KINABALU : Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam tadi (Selasa) adalah disebabkan masalah teknikal dalaman bangunan lapangan terbang itu.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Idris Mohd Noor berkata tiada sebarang masalah atau gangguan pada sistem bekalan elektrik daripada pencawang milik SESB yang membekalkan elektrik ke KKIA.

Beliau berkata SESB menerima aduan mengenai gangguan bekalan yang berlaku di KKIA pada 9.38 malam tadi dan pemeriksaan segera mendapati punca bekalan elektrik di Pencawang Pembahagian Utama KKIA adalah normal.

“Pengesahan telah dibuat dengan pihak Pengurusan Bangunan KKIA dan dimaklumkan bahawa kerosakan tersebut adalah berpunca daripada kerosakan pendawaian dalaman bangunan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Isu KKIA terputus bekalan elektrik malam tadi tular di media sosial sehingga pelbagai pihak mempersoalkan keberkesanan sistem bekalan elektrik lapangan terbang itu.

Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffrey Nor Mohamed antara yang berkongsi gambar kejadian itu di laman Facebooknya dan menegur pihak terbabit supaya insiden seperti itu tidak memberikan imej yang buruk terutama kepada Sabah yang merupakan tumpuan pelancong bukan sahaja di rantau ini, malah di seluruh dunia. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *