Sabah Yakin Berjaya Sasar Lebih 1.7 Juta Ketibaan Pelancong Tahun Ini – Hajiji

Hajiji berkata Sabah mencatatkan 792,899 ketibaan pelawat dari Januari hingga April tahun ini terdiri daripada 565,424 pelancong tempatan dan 227,475 pelawat antarabangsa.

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah yakin dapat mencapai sasaran lebih 1.7 juta ketibaan pelancong pada tahun ini berikutan negeri itu terus mencatatkan trend peningkatan sejak pembukaan sempadan pascapandemik COVID-19, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor. 

Beliau berkata Sabah mencatatkan 792,899 ketibaan pelawat dari Januari hingga April tahun ini terdiri daripada 565,424 pelancong tempatan dan 227,475 pelawat antarabangsa; peningkatan 94.1 peratus berbanding 408,530 bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Ini memberi petanda baik bagi Sabah memandangkan kami terus berusaha lebih banyak kesalinghubungan udara ke Sabah untuk meningkatkan 100 penerbangan antarabangsa mingguan semasa dengan kapasiti tempat duduk 18,164 dan penerbangan domestik sebanyak 366 dengan jumlah kapasiti tempat duduk 60,303,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata kerajaan negeri memberi keutamaan dalam membangun dan meningkatkan kemahiran pengusaha pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) dengan mengembangkannya ke seluruh Sabah bagi membantu lebih ramai pengusaha di kawasan luar bandar mendapat manfaat daripada peluang ekonomi itu.

Hajiji berkata CoBT telah diamalkan di banyak daerah di negeri itu termasuk di kawasan pedalaman dan Keningau, yang menjadi syurga pelancongan bagi penggemar pengembaraan, kebudayaan, alam sekitar, makanan dan sejarah.

Ketua Menteri berkata pada 2019, dua projek rintis CoBT di Kiulu, Tuaran dan Kadamaian, Kota Belud telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dengan Kiulu menjana perolehan RM5.45 juta dan RM2.57 juta serta masing-masing menarik 54,000 dan 217,000 pelawat.

Hajiji berkata kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar negeri memperuntukkan RM10 juta di bawah inisiatif Sabah New Deal untuk memperbaiki infrasruktur asas pelancongan di kawasan luar bandar yang memanfaatkan bukan sahaja Keningau tetapi juga Nabawan, Tenom dan Tambunan.

“Kami juga berbangga kerana negeri lain di Malaysia seperti Terengganu, Melaka, Sarawak dan Pahang telah mencontohi Sabah untuk belajar daripada kejayaan kami memajukan industri pelancongan luar bandar.

“Kami yakin menjelang 2030, Sabah akan mencapai 80 peratus sasaran pematuhan standard ASEAN bagi CoBT di Sabah,” kata Hajiji.

Sehingga kini Sabah telah memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN, Anugerah Inap Desa ASEAN, Pelancongan Kampung Terbaik Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNTWO) dan Anugerah Kecemerlangan Majlis Kraf Dunia bagi Kraftangan, Rantau Asia Pasifik. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *