Urusan Air Hak Sabah, Takkan Serah Kepada Pusat, Kata Shahelmey

Shahelmey Yahya mengakui kos penyelarasan dan pengurusan bekalan air di Sabah membabitkan peruntukan sangat besar dan memerlukan bantuan Putrajaya.

KOTA KINABALU : Sabah mengalu-alukan bantuan Putrajaya bagi mengatasi masalah air seperti diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim baru-baru ini, namun ia tidak akan menyerahkan urusan bekalan airnya kepada pusat.

Ini kerana, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Shahelmey Yahya, semua perkara berhubung pengurusan air di Sabah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menteri kerja raya Sabah itu bagaimanapun mengakui kos penyelarasan dan pengurusan bekalan air di negeri itu membabitkan peruntukan sangat besar.

Susulan itu, katanya, kerajaan negeri memerlukan bantuan, sama ada geran atau pinjaman daripada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan projek bekalan air di Sabah demi kesejahteraan rakyat.

“Kita mengalu-alukan tawaran perdana menteri untuk membantu menyelesaikan masalah air di Sabah.

“Jika kita lihat video beliau ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan (Ahad lalu), kenyataan dikeluarkan perdana menteri adalah kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah air di Sabah dan Kelantan.

“Ia tidak secara spesifik mengatakan (kerajaan pusat) akan datang mengambil alih urusan air di Sabah, sebab urusan berkenaan air adalah urusan kerajaan negeri,” katanya menurut Berita Harian.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *