Zahid Mohon Peruntukan Khas Selesai Masalah Air Di Sabah

Ahmad Zahid (tengah) ketika menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah di Bangunan UMNO Sabah.

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi akan memohon peruntukan khas untuk menyelesaikan isu bekalan air yang berlarutan sejak sekian lama di Sabah.

Menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, peruntukan khas itu sangat diperlukan untuk memastikan semua rakyat tinggal di Sabah khususnya di kawasan luar bandar mendapat bekalan air bersih.

“Saya tahu bekalan air di Sabah sangat mengecewakan, banyak rungutan kita dengar khususnya ketika musim perayaan. Orang mahu beraya pun susah kerana tiada air,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Umno Sabah.

Beliau berkata, selain bekalan air, banyak lagi masalah lain perlu diberi perhatian di Sabah termasuk jalan raya dan elektrik.

Justeru, beliau juga akan memohon untuk menambah peruntukan khususnya untuk Sabah melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Zahid berkata, kerajaan persekutuan juga memperuntukkan RM600 juta untuk menyelesaikan isu infrastruktur di Sabah termasuk projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan baik pulih rumah daif.

“Saya harap peruntukan ini dapat menyelesaikan masalah dihadapi rakyat khususnya masalah air, jalan raya dan elektrik, oleh itu untuk memastikan semuanya berjalan lancar, kestabilan politik perlu dijaga,” katanya.

Sementara itu, Zahid pada sidang media di Papar selepas menghadiri majlis ramah mesra MRSM Kota Kinabalu (kini dikenali MRSM Tan Sri Musa Aman), berkata beliau akan memantau penyaluran peruntukan RM600 juta itu bagi memastikan ia dapat memberi kesan kepada negeri ini.

“Saya juga akan memantau kawasan daif terutama tiga daerah termiskin di Sabah akan saya beri keutamaan setelah adakan perbincangan dengan perdana menteri untuk memberikan tumpuan dan perhatian terhadap daerah ini,” katanya.

Tiga daerah termiskin di Sabah itu ialah Pitas, Kota Marudu dan Tongod. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *