Peniaga Resah, Lebih Separuh Kuih Raya Tidak Terjual

Shima Sahid menunjukkan biskut raya balang yang masih banyak di gerainya.

KOTA KINABALU: Biasanya apabila memasuki hari-hari terakhir Ramadan lebih separuh biskut raya sudah habis terjual tapi, tidak pada tahun ini.

Keadaan itu menyebabkan rata-rata peniaga biskut raya menjadi resah kerana hasil jualan belum balik modal.

Wahab Asusi, 50, berkata, setelah hampir 20 tahun berniaga biskut raya di Wisma Muis, jualan tahun ini antara paling teruk sepanjang beliau berniaga.

“Biasanya memasuki minggu ketiga Ramadan, sudah lebih separuh biskut terjual tapi, kali ini memang jualan teruk.

“Biarpun saya sudah turunkan harga jualan sebanyak tiga kali tapi, masih tidak mampu menjual separuh biskut raya. Sekarang saya letak harga yang paling rendah, tidak boleh sudah turunkan harga sebab untung sangat kecil.

Wahab Asusi menyusun atur biskut raya yang belum habis terjual di gerainya di Kompleks Bazar El-Medinah, Kota Kinabalu semalam.

“Saya membelanjakan antara RM80,000 hingga RM100,000 modal berniaga biskut raya. Jadi, sekiranya hari ini dan esok biskut raya ini belum habis terjual, saya terpaksa berniaga pada hari raya kedua atau ketiga untuk dapatkan kembali modal berniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, jualan biskut raya tidak boleh dipulangkan semula kepada pembekal jadi, peniaga perlu berusaha menghabiskan jualan supaya tidak rugi.

Jelasnya, jualan tahun lalu jauh lebih baik berbanding tahun ini. Ia mungkin disebabkan pada tahun lalu, orang ramai dibenarkan mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, Shima Sahid, 25, berkata, jualan biskut raya sangat perlahan biarpun Hari Raya Aidilfitri sudah hampir menjelang.

Katanya, harga biskut raya sama dengan harga tahun lalu tapi, tidak banyak biskut yang terjual.

Biasanya memasuki pertengahan Ramadan, hampir separuh biskut raya yang terjual tapi, tidak pada kali ini. Sehingga pertengahan Ramadan jualan sangat perlahan. – Utusan

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *