Penjawat Awam Sabah Terima RM700 Bonus Aidilfitri, Pesara RM350 Dibayar 17 April

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

KOTA KINABALU : Lebih 20,000 penjawat awam Sabah akan menerima bonus Aidilfitri dan Pesta Kaamatan sebanyak RM700 yang akan dibayar pada 17 April ini, umum Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri majlis berbuka puasa Ketua Menteri Sabah bersama mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi di Semenanjung di sini malam ini, beliau berkata sebanyak RM350 pula akan disalurkan kepada pesara kerajaan untuk tujuan sama.

“Kerajaan negeri (Sabah) seperti juga Kerajaan Persekutuan, sempena menyambut Aidilfitri dan Pesta Kaamatan, kita akan memberi bonus atau bantuan kepada penjawat awam negeri Sabah sebanyak RM700 manakala pesara RM350 yang akan dibayar minggu depan. Saya ingat 17 April ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) bersedia menerima penyertaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang dipecat hari ini.

“Saya tidak boleh komen kerana ia membabitkan urusan parti UMNO…kalau mereka mohon untuk masuk PGRS, insya-Allah kita akan terima. Di Sabah banyak parti politik, jadi terpulang kepada mereka untuk memilih,” katanya.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini dilapor mengumumkan pemecatan tiga ADUN UMNO yang menyokong pimpinan Hajiji semasa berlaku kemelut politik di Sabah Januari lepas.

Tiga ADUN terbabit ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *