Cubaan Curi Kabel Punca Gangguan Elektrik Menara Kinabalu

Sabah Electricity Sdn Bhd menyediakan janakuasa mudah alih bagi memastikan operasi Menara Kinabalu tidak terjejas hari ini.

KOTA KINABALU : Pusat pentadbiran kerajaan Sabah, Menara Kinabalu berdepan gangguan elektrik dipercayai akibat cubaan mencuri kabel di kawasan berhampiran pada Ahad lalu.

Keadaan itu memaksa Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menempatkan enam janakuasa mudah alih untuk membekalkan elektrik ke Menara Kinabalu hari ini.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Idris Mohd Noor, berkata beberapa perumahan dan premis komersial di kawasan berhampiran turut terjejas akibat kerosakan kabel milik SESB.

Beliau berkata, hasil siasatan pasukan teknikal SESB mendapati kerosakan talian 33 kilovolt (kV) yang membekal elektrik ke kawasan itu akibat cubaan memotong dan mencuri kabel oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami dapati ada kesan potongan dan terbakar yang bertujuan mencuri kabel milik SESB. Perbuatan itu menjejaskan bekalan ke beberapa kawasan di Alam Mesra, Likas dan Menara Kinabalu.

“Kerja-kerja pemulihan bekalan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya menurut Harian Metro.

Idris berkata, bekalan elektrik di semua kawasan terjejas pulih pada hari sama, Ahad lalu.

Tetapi, katanya, bekalan elektrik ke Menara Kinabalu, yang turut menempatkan pejabat ketua menteri Sabah dan beberapa kementerian negeri, masih terjejas akibat kerosakan kabel yang membekalkan elektrik ke bangunan 33 tingkat itu lewat malam tadi.

“Kerosakan kedua ini disyaki disebabkan kerja penimbusan tanah di laluan utama kabel bawah tanah. Kerja pemulihan bekalan giat dilaksanakan,” katanya sambil menambah janakuasa mudah alih dihantar hari ini bagi memastikan operasi Menara Kinabalu tidak terjejas.

Difahamkan, penghantaran janakuasa mudah alih itu juga bagi memastikan mesyuarat mingguan Kabinet negeri pada setiap Rabu berjalan lancar.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *