Status Kedudukan Sabah, Sarawak Diangkat Kepada Wilayah Permudahkan Pelaksanaan Autonomi Negeri – Shafie

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Status kedudukan Sabah dan Sarawak yang diangkat kepada wilayah bakal memberi kelebihan, khususnya dari segi pelaksanaan autonomi negeri masing-masing.

Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata hak autonomi Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah keistimewaan sedia ada untuk kedua-dua negeri terbabit.

“Di Parlimen, sebenarnya Rang Undang-Undang (RUU) 112D telah diluluskan, tiada keperluan (pewartaan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah).

“Itu memang satu daripada kelainan dan entiti sedia ada untuk membolehkan Sabah dan Sarawak menjadi wilayah, ia bukan sebuah negeri.

“Kerana apa kita hendakkan supaya (Sabah dan Sarawak) diiktiraf sebagai wilayah? Kena ada beberapa peruntukan dan itulah perbezaannya di antara beberapa negeri yang ada,” katanya.

Mengulas lanjut, Shafie yang juga bekas Ketua Menteri negeri ini memberi contoh Sabah dan Sarawak mempunyai undang-undang imigresen serta bidang kuasa hak tertentu berbeza dari Semenanjung Malaysia berdasarkan MA63.

“Jadi kita perlu mempunyai asas dari segi perlembagaan. Itu jangan dipertikaikan.

“Nanti kelak ada isu timbul seperti kes mahkamah tentang tuntutan ini, kenapa orang Semenanjung mempunyai sekatan tertentu masuk ke Sabah, peguam tidak boleh mengamalkan guaman mereka di negeri Sabah dan sebagainya.

“Ini memang di antara peruntukan perjanjian MA63. Jadi kerangkanya untuk membolehkan wilayah itu entitinya di peringkat awal kerana MA63 juga melihat perjanjian antara wilayah tanah Semenanjung dan kerajaan Borneo Utara.

“Waktu itu, kerajaan pemerintahan British di Borneo dan Sarawak berlainan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Rumah Terbuka Tahun Baru Cina WARISAN bertempat di Pejabat WARISAN Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Hari ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata status Sabah dan Sarawak perlu kekal sebagai ‘negeri’ seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan laporan sebuah media hari ini, Wan Junaidi menyifatkan pewartaan dua negeri itu sebagai ‘wilayah’ dikhuatiri mengundang masalah lebih besar. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *