Pembedahan Otak Secara Sedar Pertama Di Sabah

Pasukan doktor pakar yang menjalankan pembedahan terhadap wanita berusia 50 tahun mengalami simptom sakit kepala sejak Oktober 2022.

KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melakukan pembedahan otak ke atas seorang pesakit dalam keadaan sedar penuh iaitu yang pertama seumpamanya dijalankan di negeri ini Khamis lalu.

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin, berkata pembedahan secara sedar atau “awake craniotomy” itu dijalankan di Dewan Bedah HQE 2 di sini.

Katanya, pembedahan itu usaha Pakar Bedah Otak HQE 2 iaitu Dr M Sofan Zenian dan Dr Hezry Abu Hasan, bersama Pakar Bius Otak Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS Dr Yeap Boon Tat, serta Pakar Perunding Kanan Pembedahan Otak Hospital Sungai Buloh Dr Liew Boon Seng.

“Persiapan dan perbincangan rapi di antara HOE 2, Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan dan UMS dimulakan sejak November 2022 bagi melaksanakan pembedahan ini.

“Pesakit merupakan seorang wanita berusia 50 tahun yang mengalami simptom sakit kepala sejak Oktober 2022 dan disahkan menghidap ‘multiple meningioma’ di bahagian kiri otak setelah didiagnosis di HDOK Sandakan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, keputusan untuk melakukan pembedahan otak menggunakan teknik “awake craniotomy” bertujuan untuk merawat dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani kualiti kehidupan lebih baik. Pesakit sebelum ini berdepan keadaan klinikal dan gejala yang teruk.

Pembedahan otak “awake craniotomy” diperkenalkan di dunia sejak awal 2000 dan pembedahan ini dimulakan di Malaysia sejak awal 2010 di Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Aminah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *