Kebakaran Pasar Raya Bataras, 2 Kilang Perabot Turut Musnah

KOTA KINABALU: Pasar raya Bataras di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Kampung Rampayan di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Kejadian itu turut memusnahkan 2 kilang barangan perabot, kuarters pekerja serta kontena penyimpanan barang milik sebuah syarikat perkapalan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10:39 pagi.

45 pegawai dan anggota bersama 3 jentera pemadam api dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran.

“Kebakaran melibatkan 4 buah premis bangunan jenis separuh kekal berkeluasan
16,258 meter persegi.

“Bangunan Bataras Hypermarket terbakar 80%, Sunshine Furniture terbakar 100%, bangunan New Tech Furniture terbakar 5% dan kuarters pekerja serta kontena penyimpanan barang milik Syarikat Perkapalan dan Penghantaran Cahaya Bakti Sdn.Bhd. terbakar 100%.

“Operasi pemadaman kebakaran dibahagikan kepada 3 sektor iaitu sektor pertama 4 aliran 600 kaki 5 pancutan sumber air dari water tanker, sektor kedua 1 aliran 200 kaki 2 pancutan sumber air dari tangki jentera dan sektor ketiga 1 aliran 300 kaki 1 pancutan sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Operasi terkawal pada jam 12.10 tengahari dan kerja-kerja memadamkan bara api sedang dijalankan.

Punca kebakaran masih disiasat manakala jumlah kerugian masih ditaksirkan, namun dianggarkan melebihi RM1 juta.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *