Bung Tak Iktiraf Kerajaan Perpaduan Hajiji, Dakwa Belakangkan Cadangan PM

Ketua Umno Sabah Bung Moktar enggan mengiktiraf rombakan jemaah menteri diterajui Hajiji Noor sebagai kerajaan perpaduan dicadang Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

KOTA KINABALU : Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berpandangan jemaah menteri dalam kerajaan diketuai Hajiji Noor bukan kerajaan perpaduan seperti mana dicadangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, keputusan melantik dua wakil Umno memegang portfolio menteri termasuk jawatan timbalan ketua menteri dianggap “membelakangkan” parti itu.

Bung berkata, pelantikan mereka tidak mewakili Umno, selain tidak diiktiraf Umno Sabah diketuainya.

“Ketua menteri nampaknya membelakangkan pandangan PM untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Sabah, perlu diingat pembentukan kerajaan pusat, BN (Barisan Nasional) merupakan penyumbang kepada kerajaan perpaduan.

“Saya juga berharap ketua menteri bersikap adil dengan rakan-rakan dalam kabinet tanpa melibatkan campur tangan secara langsung dalam pentadbiran kementerian masing masing,” katanya dalam kenyataan.

Bung yang juga ADUN Lamag, berkata pelantikan mereka hanya mewakili individu demi kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan masa depan parti secara menyeluruh.

Katanya, pihaknya sedang membawa perkara itu untuk dihadapkan kepada Lembaga Disiplin parti kerana membelakangkan keputusan Umno/BN Sabah.

“Kita akan berbincang dengan presiden (Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengambil sebarang tindakan selanjutnya,” katanya.

Shahelmey Yahya yang juga Tanjung Keramat dilantik sebagai timbalan ketua menteri III merangkap menteri kerja raya Sabah baharu, manakala James Ratib (Sugut) dilantik sebagai menteri pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *