JHL Rekod 2,886 Ekor Buaya Di 10 Sungai Di Sabah

Terdapat sebanyak 2,886 ekor buaya di seluruh negeri ini yang berjaya direkodkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menerusi satu kajian yang dibuat selama dua tahun pada 2017 hingga 2019.

KOTA KINABALU : Terdapat sebanyak 2,886 ekor buaya di seluruh negeri ini yang berjaya direkodkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menerusi satu kajian yang dibuat selama dua tahun pada 2017 hingga 2019.

Kajian itu dilakukan setiap 20 tahun sekali membabitkan sebanyak 10 sungai di beberapa daerah yang ada bagi melihat jumlah populasi buaya di negeri ini.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, kajian itu dilaksanakan oleh saintis dari Danau Girang untuk melakukan kerja-kerja merekod jumlah populasi buaya di Sabah.

“Kajian pertama dibuat pada tahun 1984, ketika itu memang kurang populasi buaya dan kajian kedua pada tahun 2002 didapati ada peningkatan dari segi populasi manakala pada 2019 populasi tidak meningkat seperti yang dijangkakan.

“Kajian ini dijalankan selama dua tahun tetapi bukan di semua sungai di Sabah dan kita hanya menumpukan kepada 10 sungai iaitu Sungai Klias dan Sungai Padas di Beaufort, Sungai Kinabatangan di Sandakan, Sungai Silabukan dan Sungai Segama di Lahad Datu, Sungai Bengkoka di Pitas, Sungai Paitan dan Sungai Labuk di Beluran serta Sungai Serudong di Tawau.

“Hasil kajian di sepanjang 1,829 kilometer di 10 sungai terbabit, terdapat 2,886 ekor buaya yang direkodkan, di mana Sungai Kinabatangan paling banyak ada buaya dengan jumlah sebanyak 1,368 ekor buaya dan selebihnya di Sungai Serudong manakala paling sedikit buaya di Sungai Segama,” katanya kepada Sinar Harian.

Menjelaskan kaedah kajian itu dibuat, jumlah populasi buaya biasanya dilakukan pada waktu malam ketika keadaan air sungai surut dan haiwan ini sebenarnya tidak berkumpul tetapi ditemui secara rawak.

Augustine turut menjelaskan bahawa tiada lokasi baharu bagi populasi buaya berkenaan berikutan penemuan haiwan itu di kawasan perairan laut seperti di Lahad Datu, Semporna dan Pitas. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *