DUN Sabah Akan Buat Sidang Khas Lulus, Warta RUU Bekalan Gas, Kata Hajiji

Hajiji Noor berkata, sidang khas Dewan Undangan Negeri Sabah akan diadakan selepas keputusan pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas mendapat perkenan Agong.

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan persekutuan memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah adalah langkah ke hadapan ke arah merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Ketika mengalu-alukan keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini, Hajiji berkata, ini sentiasa menjadi aspirasi negeri itu dan rakyatnya.

Katanya, beliau membangkitkan keperluan memenuhi MA63 semasa pertemuan pertamanya dengan Anwar selepas dilantik sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 Nov lalu.

“Kerajaan negeri teguh dalam usaha mengawal dan menguruskan sumber minyak dan gas negeri,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, selepas keputusan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mengadakan sidang khas untuk meluluskan dan mewartakan Rang Undang-undang Negeri Sabah bagi bekalan gas.

Katanya, Suruhanjaya Tenaga Sabah akan mengambil alih semua kuasa kawal selia untuk bekalan gas di darat (penggasan semula, penghantaran, pengedaran, penggunaan gas oleh pemegang lesen swasta dan runcit) di negeri ini berkuatkuasa serta-merta.

Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan pusat bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri dan perkara itu dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan persekutuan untuk menghormati MA63. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *