Anwar Selesai Menghadap Agong

Perdana Menteri meninggalkan Istana Negara pada jam 9.15 pagi selepas menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kira-kira 8.20 pagi tadi.

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Anwar Ibrahim selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selepas pertemuan hampir satu jam.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 9.15 pagi selepas menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kira-kira 8.20 pagi tadi.

Pertemuan itu dipercayai bagi mempersembahkan senarai Jemaah Menteri kerajaan perpaduan yang dikhabarkan hampir selesai dalam masa terdekat.

“Saya mohon maaf, terpaksa bergegas (untuk) selesaikan masalah (isu Jemaah Menteri) dengan semua parti komponen kerana kita harus segera bentuk barisan Jemaah Menteri dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya harap dapat diumum dalam masa dua, tiga hari lagi,” katanya dipetik Bernama dalam Majlis Ramah Mesra Reformis di Sungai Long, Kajang semalam.

Anwar dijadualkan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Perak pada 10 pagi ini.

Beliau kemudian dijadual mengadakan sesi tinjauan mesra di Pasar Tanjung Rambutan, melawat tapak Klinik Kesihatan Manjoi, menunaikan solat Jumaat dan menghadiri kenduri rakyat di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Ipoh.

Isnin lalu, Anwar dilaporkan berkata, pembentukan Jemaah Menteri kerajaan pimpinannya memerlukan perbincangan pelbagai pihak kerana membabitkan banyak parti.

Katanya, proses rundingan juga mengambil masa kerana Jemaah Menteri baharu lebih kecil berbanding pentadbiran terdahulu.

Kerajaan perpaduan Anwar terdiri daripada PH, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah, dengan sokongan Ahli Parlimen Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan dua wakil rakyat bebas. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *