DUN Sabah Lulus Belanjawan RM5.138 Bilion

Hajiji Noor (berdiri) ketika menyampaikan ucapan penggulungan di DUN Sabah hari ini. – Foto JKM

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Belanjawan 2023 berjumlah lebih RM5 bilion selepas dibahas selama empat hari sejak Isnin.

Belanjawan terbesar dalam perbelanjaan negeri itu dibentangkan Ketua Menteri Hajiji Noor pada Jumaat lalu.

Bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan berkaitan belanjawan itu dipersetujui sebulat suara semua ADUN yang hadir.

Ia membabitkan kelulusan berjumlah RM4,910,768,828 untuk perbelanjaan negeri tahun depan.

Selain usul belanjawan, turut diluluskan ialah RUU Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan 2022) Untuk Penambahan Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Badan Profesional Perakaunan Negeri Sabah.

Satu lagi ialah RUU Pindaan Enakmen Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 (No 5 Tahun 2020).

Terdahulu dalam ucapan penggulungan, Hajiji menyeru semua kementerian dan jabatan pelaksana serta agensi kerajaan menggunakan sepenuhnya peruntukan yang disediakan.

Katanya, pelaksanaan projek yang dirancang diharap dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan atau mendahului tempoh masa pelaksanaan.

“Kementerian dan jabatan perlu ada komitmen yang tinggi, proaktif dan inovatif dalam melaksanakan tugas demi untuk mencapai sasaran pembangunan yang kita telah rancang untuk kepentingan dan keselesaan rakyat.

“Jika dilihat kepada Belanjawan 2023 yang saya bentangkan Jumaat lepas hampir semua kementerian dan jabatan mendapat peningkatan peruntukan yang meliputi semua sektor daripada sektor ekonomi, sosial, perindustrian, pelancongan, infrastruktur, modal insan hinggalah kepada pembangunan wanita, belia dan sukan.

“Belanjawan ini dirancang bagi membangun ekonomi negeri ke tahap lebih tinggi dan mampan agar seluruh rakyat mendapat hasil dan faedah,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *