SOGDC, Esteel Sabah Meterai Perjanjian Pajakan Tanah Projek Keluli Hijau Bernilai US$4.4 Bilion

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian projek Green Steel antara Pengerusi Oil dan Gas Development Corporation Sdn Bhd Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (depan, dua kanan) dengan Pengarah Urusan Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd Xu Yihang (depan, dua kiri) di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

KOTA KINABALU, 30 Nov : Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) telah memeterai perjanjian pajakan tanah dengan Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (ESTEEL Sabah) untuk projek keluli hijau di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Pengerusi SOGDC Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata projek keluli hijau itu adalah projek membabitkan tiga fasa dengan nilai pelaburan keseluruhan US$4.39 bilion, dan pembinaan bagi fasa pertama dijadual bermula pada suku keempat tahun depan dan dijangka siap pada 2025.

“Ia pelaburan terbesar pernah disaksikan di Sabah dan signifikan dalam bidang pembuatan besi. Projek ini mempunyai (kesan) limpahan ekonomi yang agak besar untuk Sabah termasuk dalam aspek peluang pekerjaan dan memberi kesan positif sampingan bagi Sipitang,” katanya dalam sidang media selepas majlis berkenaan.

Perjanjian itu yang ditandatangani oleh Abdul Rahman dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC Datuk Harun Ismail manakala ESTEEL Sabah diwakili Pengarah Urusannya Xu Yihang dan Pengarah Eng Shao Wei, berlangsung di sini dan disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara dalam satu kenyataan akhbar, SOGDC berkata kira-kira 10,000 hingga 15,000 pekerjaan akan diwujudkan dalam tempoh pembinaan.

Projek itu akan melibatkan keseluruhan rantaian industri keluli hijau yang antaranya termasuk kepekatan bijih besi, palletising, pembuatan keluli dan penggulungan keluli, katanya.

Kilang itu akan menggunakan gas asli sebagai agen pengurangan dan bukannya kok dan arang batu, yang mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 70 peratus dan rendah karbon, cekap serta mesra alam.

Bagi fasa pertama projek itu, pelabur akan membina industri keluli hijau bersepadu, melibatkan kawasan seluas 446 ekar tanah dalam SOGIP. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *