Anwar Dan Muhyiddin Dititah Menghadap Agong 4.30 Petang

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin menghadap pada jam 4.30 petang ini.

Dalam satu kenyataan, Istana Negara memaklumkan titah tersebut dikeluarkan selepas Seri Paduka Baginda mendapati tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah, maka Seri Paduka Baginda menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan PH dan PN menghadap pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu juga menyebut, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya lagi.

PH yang mempunyai 82 kerusi parlimen dan PN yang memiliki 73 kerusi tidak dapat membentuk kerajaan kerana kedua-dua gabungan tersebut gagal mendapat majoriti mudah.

Selepas tiga hari PRU15 berlalu, usaha-usaha untuk membentuk kerajaan baharu masih menemui jalan buntu.

Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 30 kerusi parlimen dan dilamar PH dan PN, memilih untuk kekal menjadi pembangkang.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *