PRU15 : Jentera Parti Sipitang Dekati Pengundi Muda Digelar ‘Lalang’

Kampung Long Pasia yang terletak 128 kilometer dari Pekan Sipitang hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda kerana laluan tanah merah berlumpur, licin dan tanah berbukit. Jambatan konkrit Sungai Meligan menjadi laluan utama kenderaan untuk masuk ke Kampung Long Pasia akan ditenggelami air apabila hujan turun dan penduduk terpaksa menggunakan jambatan gantung untuk menyeberangi sungai berkenaan.

SIPITANG, 16 Nov : Jentera parti setiap calon terus mendekati pengundi di Parlimen Sipitang terutamanya golongan muda yang sering digelar seperti ‘lalang’ disebabkan keputusan mereka yang sukar dijangka, bagi memberi mereka panduan untuk memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Ketua Bahagian Parti Warisan Sipitang Pengiran Mohd Yacob Pengiran Omar berkata sebagai pengundi baharu, mereka dilihat masih bersikap acuh tak acuh untuk membuat pilihan menjelang hari pengundian Sabtu ini. 

“Pengundi muda ialah sasaran kita (kempen), kebanyakan mereka bersikap…kalau dalam bahasa Brunei seperti ‘malas tah ku ingau’ (tidak ambil tahu), malas turun (mengundi),” katanya kepada Bernama.

Mohd Yacob yang juga ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) berkata sebagai pengundi baharu, generasi muda mempunyai hak untuk memilih tetapi pada masa sama perlu juga diberi pendedahan serta pengetahuan mengenai situasi politik semasa.

Beliau berkata tidak kira calon daripada parti mana yang mereka pilih, yang pastinya pengundi muda memerlukan suntikan semangat agar tidak mengambil sikap ‘atas pagar’ dalam PRU15.

Ketua Cawangan Bersatu Kampung Long Pasia Mafry Balang pula berkempen dengan pendekatan menggunakan jentera yang terdiri daripada golongan belia di kampung berkenaan.

Beliau berkata dengan cara itu jentera parti lebih mudah untuk mendekati dan menyantuni anak-anak muda yang buat kali pertama mengundi dalam PRU15 dan antara usaha yang dilakukan ialah mengadakan pertemuan dengan pengundi muda di bandar sekali gus menarik anggota keluarga lain untuk memilih.

“Ramai pengundi muda yang bekerja di Kota Kinabalu tetapi untuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Long Pasia, ramai juga pengundi muda dianggarkan hampir 100 orang,” kata Ketua PDM Kampung Long Pasia itu menambah cara berkenaan dapat memberi gambaran jelas kepada pengundi muda di Sipitang.

Bagi Manuel Yohanis, 20, kempen yang melibatkan golongan muda lebih memudahkan mereka memahami manifesto setiap calon yang datang ke kampung itu selain daripada jentera parti kampung berkenaan.

“Calon yang kami yakini boleh membawa perubahan dari segi pembangunan ekonomi dan mengurus tadbir di kawasan ini, itulah yang akan kami pilih,” katanya yang teruja untuk mengundi buat kali pertama tahun ini.

Pendapat sama turut dikongsikan oleh Welter Samuel, 25, yang berkata beliau serta pengundi muda lain mahu melihat kampung kelahirannya itu turut sama menikmati kemudahan asas seperti yang diharapkan oleh setiap penduduk kampung itu sejak sekian lama.

Beliau berkata paling menyedihkan penduduk kampung terpaksa membayar tambang kenderaan RM100 seorang untuk ke Pekan Sipitang sejauh 128 kilometer dan pada masa sama melalui jalan raya yang rosak teruk terutamanya pada waktu hujan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *