Polis Tumpaskan Geng Taufiq Terlibat Kes Pecah Rumah Di Sekitar Penampang

Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim

PENAMPANG, 19 Okt : Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Taufiq’ selepas menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dengan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini melibatkan kerugian RM125,000, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim berkata ketiga-tiga lelaki berusia 18 hingga 32 tahun itu, ditahan dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada 14 Okt lepas.

Foto Facebook Polis Daerah Penampang

“Secara keseluruhan dengan tertangkapnya Geng Taufiq ini, polis berjaya menyelesaikan 20 kes pecah rumah serta curi di sekitar daerah ini, dan hasil siasatan mendapati mereka bergiat aktif sejak awal tahun ini.

“Ketiga-tiga suspek direman hingga 21 Okt ini mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan juga mendapati seorang daripada suspek pernah ditahan enam kali atas kesalahan sama dan selesai menjalani hukuman penjara pada Disember 2021.

“Modus operandi suspek memantau dan memecah masuk rumah tiada penghuni terutamanya pada waktu penghuni bekerja dan sebelah malam. Suspek juga cenderung menyasarkan jenis rumah kampung, bilik sewa, dan perumahan apartment dengan mencuri barang kemas, elektronik dan wang tunai,” katanya.

Foto Facebook Polis Daerah Penampang

Mohd Haris berkata polis kini masih menjalankan siasatan termasuk mengesan seorang lagi ahli Geng Taufiq, selain tidak menolak kemungkinan kumpulan ini turut terbabit jenayah pecah rumah di daerah lain. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *