Pemuda Dikhuatiri Hilang Dalam Hutan Di Kiulu

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan pagi, hari ini. – Foto JBPM

TUARAN : Seorang lelaki berusia 25 tahun dikhuatiri hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Kitapol, Kiulu di sini, sejak Selasa lalu.

Mangsa, Ireneus@Hendry Anthony, 25, dilaporkan kali terakhir dilihat selepas keluar dari rumahnya untuk ke rumah datuknya melalui jalan kebun getah dan hutan di Kampung Sinansag, Kiulu.

Bagaimanapun, datuk mangsa menghubungi ibunya pada jam 6 petang kemudiannya sebelum memaklumkan anaknya belum tiba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 3 petang, semalam.

Katanya, seramai sepuluh anggota, Unit Dron serta Unit Anjing Pengesan (K9) bergegas ke lokasi kejadian dengan satu kenderaan utiliti Fire Response Vehicle (FRV) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pihak bomba dimaklumkan, usaha penduduk kampung mencari mangsa dijalankan sejak hari pertama kejadian berlaku namun gagal sebelum mendapatkan bantuan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak semalam ditangguhkan pada jam 7 malam tadi dan disambung semula jam 8.30 pagi, hari ini.”

“Operasi turut disertai bantuan unit anjing pengesan (K9), unit dron, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lebih 30 penduduk kampung,” katanya.

Abdul Qawie berkata, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *