Mayat Lelaki Hilang Ketika Memukat Ikan Ditemui

BELURAN : Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memukat ikan di muara sungai di Kampung Obah, Paitan di sini, Rabu lalu, ditemui pagi semalam.

Mayat Arasin Atang, 56, ditemui oleh orang awam dalam keadaan tubuhnya yang tidak sempurna, jam 8.10 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata operasi mencari hari kedua bermula jam 8.20 pagi dengan Ketua Operasi bersama 3 orang anggota menggunakan bot penyelamat bergerak ke lokasi kejadian dengan menyusuri sungai dari Jeti Muara Pekan Beluran

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, pihak polis memaklumkan bahawa mangsa sudah ditemui oleh orang awam pada jam 8.10 pagi di kawasan mangsa dilaporkan hilang dalam keadaan tubuh badan yang tidak sempurna,” katanya dalam kenyataan media.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan jam 11.20 pagi.

Komunikasi di lokasi kejadian sukar kerana tiada talian telefon dan liputan Government Integrated Radio Network (GIRN).

Terdahulu bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.53 petang, Rabu lalu.

Gerakan mencari hari pertama membabitkan sepasukan 5 pegawai dan anggota bersama sebuah bot dari BBP Beluran.

Namun mangsa gagal ditemui dan operasi mencari disambung semula semalam.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *