Belanjawan 2023: Pemain Industri Pelancongan Sabah Harap ‘Wang Besar’

Antara Pelancong tempatan merakam foto berlatarkan Gunung Kinabalu di Pekan Kundasang, yang kembali dikunjungi pelancong tempatan.

KOTA KINABALU: Pengusaha pelancongan berharap Belanjawan 2023 mendatangkan ‘wang besar’ untuk industri itu, yang ingin berkembang dengan ekonomi yang memulih pasca pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Sabah, Tonny Chew, berkata sekarang masanya untuk mengembangkan industri pelancongan ketika serata dunia kembali mengembara, dan Negeri Dibawah Bayu itu ingin kembali menjadi antara penyumbang terbesar ekonomi.

Untuk mencapai hasrat itu, pemain industri memerlukan bantuan kewangan dalam bentuk “pakej mesra”, dengan skim pembayaran balik untuk aliran tunai yang konsisten.

“Apa gunanya membuka semula sempadan dan pelancong masuk tetapi pemain industri tidak dapat menyediakan perkhidmatan mereka kerana mereka tidak mempunyai dana, contohnya membayar pekerja mereka atau memperbaharui permit serta insuran?” katanya kepada FMT, sambil mengingatkan pemain industri sudah menderita dalam dua tahun kebelakangan ini.-ADVERTISEMENT-Ads by 

Chew berkata kerajaan akan perlu menyediakan sejumlah wang yang besar untuk membantu industri pelancongan, namun ia bukanlah langkah yang akan merugikan.

“Seluruh dunia akan mengembara semula, jadi wang yang dibelanjakan kerajaan pasti akan diperolehi semula. Ia situasi menang-menang bagi kerajaan dan sektor pelancongan,” katanya.

“Kami tidak mengharapkan kerajaan hanya memberi ‘sudu’…tetapi memerlukan bantuan lebih besar untuk kembali ke tahap seperti sebelum ini.”

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Sabah, Winston Liaw, percaya pemberian insentif dan subsidi kepada pemain industri akan lebih banyak membantu berbanding peruntukan besar untuk promosi pelancongan.

“Kita harus menumpukan juga pelancong ‘kelas atasan’ untuk datang ke Sabah, khususnya untuk pelancongan kesihatan, kesejahteraan, dan pendidikan,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, Liaw juga menyeru kerajaan melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan lagi untuk pemain, mendakwa sehingga kini hanya 30% dalam kalangan mereka di Sabah telah pulih.

Jelasnya, ramai pemain masih berdepan kesukaran walaupun kegiatan pelancongan semakin rancak.

“Ini kerana bank menekan pemain industri untuk membayar balik pinjaman dan mereka tidak dapat menampung kerana banyak komitmen lain. Tahun ini sebenarnya jauh lebih sukar daripada 2020 dan 2021,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *