Ambulans Bawa Pesakit Kemalangan Langgar Kerbau Melintas Di Jalan KB-KK

Ambulans dan pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan.

KOTA BELUD : Sebuah ambulans hilang kawalan selepas seekor cuba mengelak kerbau melintas jalan hingga menyebabkan kenderaan itu bertembung dengan pacuan empat roda di Jalan Kota Belud-Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, pemandu ambulans dan pacuan empat roda serta doktor, jururawat dan pesakit wanita selamat yang terbabit dalam kemalangan itu selamat.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan membabitkan ambulans dipandu lelaki berusia 40 tahun dan pacuan empat roda Isuzu D-Max yang dipandu lelaki berusia 28 tahun.

Katanya, ambulans Hospital Kota Marudu yang dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu itu turut dinaiki doktor berusia 30 tahun dan jururawat berusia 41 tahun serta pesakit wanita berusia 37 tahun.


“Ketika di lokasi kejadian, ambulans itu terlanggar kerbau yang melintas jalan menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan sebelum terlanggar pacuan empat roda.

“Kedua-dua pemandu bersama tiga penumpang termasuk doktor, jururawat dan pesakit tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59). – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *