Wanita Ditemui Mati Akibat Serangan Anjing Liar Di Semporna

Rakaman video tular memaklumkan mayat seorang wanita ditemui di tepi jalan simpang Kampung Batu, Semporna.

SEMPORNA: Seorang wanita ditemukan mati dengan pelbagai kesan kecederaan dipercayai akibat diserang anjing liar, berhampiran simpang Kampung Batu dekat sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 8 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan awal di lokasi mendapati mangsa adalah wanita tempatan berusia 29 tahun ditemukan tertiarap dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

“Terdapat banyak kesan gigitan haiwan pada tubuh badan mangsa termasuk pada bahagian belakang badan, paha kanan, lengan kanan dan kepala disyaki digigit anjing liar.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar forensik daripada Hospital Queen Elizabeth mengesahkan punca kematian disebabkan oleh pendarahan yang banyak akibat gigitan haiwan dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan atau Majlis Daerah Semporna sekiranya melihat atau mengesan kehadiran anjing liar.

“Sebarang maklumat berkaitan dengan kejadian ini boleh disalurkan kepada Ketua Polis Balai, Balai Polis Semporna, Inspektor Mustapha Abdul Majid di talian 089-782020,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *