APMM Gagalkan Cubaan Seludup 8,000 Liter Petrol Ke Negara Jiran

Foto ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)

LAHAD DATU, 21 Ogos : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu menggagalkan cubaan menyeludup keluar 8,000 liter minyak petrol ke negara jiran dalam serbuan di jeti pangkalan nelayan Silam Kem di sini kira-kira 3.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata serbuan  berdasarkan maklumat orang awam itu turut menahan empat lelaki berusia 20 hingga 70 tahun dengan seorang daripadanya warga Filipina.

“Ketika serbuan, semua suspek sedang melakukan kerja pemindahan minyak dari lori ke sebuah bot kargo dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Nik Mohd Rizam berkata pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk membawa minyak petrol. 

Beliau berkata bot kargo itu dan lori bersama 40 tong drum mengandungi 8,000 liter minyak petrol dianggar bernilai RM 286,400 dirampas untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Katanya pihaknya akan mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat ke Zon Maritim Lahad Datu ditalian 089- 885727 ataupun MERS 999. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *