Peruntukan RM34 Juta Untuk Projek Di Papar

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) ketika melakukan lawatan ke tebing sungai Kampung Kuala Dalam Papar hari ini.

PAPAR, 20 Ogos: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM34 juta bagi melaksanakan projek tebatan banjir untuk menangani masalah banjir di daerah ini dan kawasan sekitarnya bermula awal tahun depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata skop projek yang akan dijalankan adalah membina struktur ban pantai dan struktur perlindungan hakisan sepanjang 1,150 meter di Kampung Kuala Dalam di sini.

“Selain itu, projek berkenaan juga melibatkan pembinaan tiga unit pintu kawalan air dan mendalamkan tempat bot berlabuh di kawasan berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Projek mengatasi banjir di Kampung Kuala Dalam ini akan dilaksanakan dengan kerja-kerja pembersihan tapak, kerja pengorekan serta penambahan tanah dan membina struktur kawalan hakisan pantai serta mendalamkan muara Sungai Papar,” katanya kepada Bernama selepas meninjau kawasan tapak projek berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata masalah hakisan di pantai Kampung Kuala Dalam, Papar berlaku lebih 10 tahun dan menjadi semakin serius sejak dua tahun lepas.

“Perkara ini mendatangkan masalah kepada penduduk yang majoritinya nelayan. Hampir 250 rumah dengan kira-kira 1,000 penduduk di sini juga berdepan risiko hakisan dan banjir pantai,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Tuan Ibrahim berkata kementeriannya menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga merancang untuk melaksanakan beberapa projek lain bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Membakut, antaranya cadangan pembinaan laluan banjir sungai Membakut ke Sungai Binsuluk dengan melaksanakan pengorekan sungai dan pembinaan struktur penstabilan tebing.

“Kami mencadangkan untuk melaksanakan projek pemuliharaan Sungai Padas Beaufort bagi mengatasi masalah hakisan tebing sungai di Kampung Lubuk Hilir, Kampung Lupak dan Kampung Suasa melalui pembinaan struktur penstabilan tebing dan semua projek berkenaan telah dimohon dalam pelan pusingan ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.

Menurutnya pihak kementerian melalui JPS juga telah melaksanakan Kajian Pembangunan Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Membakut yang merangkumi empat sungai iaitu Sungai Membakut, Sungai Damit, Sungai Terusan dan Sungai Binsuluk.

“Kajian ini bertujuan mengenal pasti masalah banjir di kawasan terlibat dan perancangan penyelasaian jangka pendek, sederhana dan panjang. Kajian kini berada di peringkat kerja-kerja ukur pada 1 Ogos lepas dan dijangka siap pada 1 Feb 2023 dengan kos RM476,171,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *