Google Maps : Letak Sabah Di bawah Filipina Perbuatan Tak Bertamadun, Kata Bung

Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin

KINABATANGAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin mahu pihak polis menyiasat secara terperinci pelaku menukar nama beberapa tempat di Sabah kepada Filipina, dalam aplikasi peta, Google Maps, baru-baru ini.

Jelasnya, perbuatan itu, yang disifatkannya sebagai tidak baik dan tidak bertamadun, boleh mengelirukan masyarakat di seluruh dunia mengenai kedudukan sesuatu tempat di Sabah.

“Ini memang mendatangkan banyak keraguan dan kebimbangan kepada masyarakat.

“Ini juga boleh menjerumuskan negeri Sabah kepada satu situasi yang tidak baik iaitu masyarakat luar negara mahu pergi ke Sandakan, apabila dicari dalam Google, lokasi itu dikatakan di Filipina,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program bersama peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).

Sejak beberapa hari lalu, warganet dari Sabah mendapati nama beberapa tempat seperti Lapangan Terbang Sandakan dan Pasar Besar Tawau disusuli dengan nama Filipina.

Namun, hari ini, didapati aplikasi itu telah menukar semula nama lokasi berkenaan dengan membuang nama Filipina.

Bung Moktar turut meminta polis untuk mengambil langkah sewajarnya terhadap pelaku terbabit.

Sementara itu, pada program hari ini, Bung Moktar berkata, LKTNS menjadi agensi penting kerajaan negeri dalam menerajui pembangunan keselamatan makanan Sabah.

Tangkap layar menunjukkan Lapangan Terbang Sandakan disusuli nama Filipina.

“LKTNS telah merancang berbagai perkara untuk diterapkan, khususnya kepada peneroka LKTNS untuk membangunkan tanah mereka dengan pertanian,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga berharap peneroka LKTNS di Suan Lamba memanfaatkan tanah mereka bersama agensi negeri itu untuk menghasilkan tanaman yang mampu meraih pulangan besar.

“Walaupun di kampung, tetapi kita perlu urbanisasi minda dalam pertanian supaya kita boleh menuju ke tahap yang mampu mengeluarkan kita daripada belenggu kemiskinan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *