Belum Ada Laporan Ajaran Sesat Hadi Minallah Menyusup Masuk Ke Sabah

Datuk Mohd Arifin Mohd Arif

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) masih belum menerima laporan mengenai ajaran Hadi Minallah masuk ke negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, setakat ini tiada laporan mengenai ajaran itu dibawa masuk ke Sabah.

Namun, kerajaan menerusi agensi penguatkuasaan agama akan memantau dengan lebih ketat penyebaran ajaran Hadi Minallah yang dipercayai sudah mula masuk ke beberapa negeri di Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan melalui Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan pegawai-pegawai agama di peringkat daerah perlu lebih peka kepada perkara ini agar ajaran yang menyeleweng sebegini tidak tersebar.

“Kita akan memantau di setiap daerah kerana kita mempunyai pegawai tadbir, imam-iman masjid dan guru-guru agama yang perlu peka terhadap isu-isu sebegini. Apa-apa yang rakyat atau masyarakat dengar yang canggung dan tidak sesuai boleh laporkan kepada Jheains.

“Namun, saya akan mendapatkan maklumat daripada bahagian penguatkuasaan Jheains dan selepas itu kita akan membuat ketetapan melalui Jheains dan Pejabat Mufti Negeri Sabah,” katanya selepas mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) hari ini.

Sebelum ini, terdapat laporan kumpulan ajaran Hadi Minallah yang berasal daripada Indonesia itu dipercayai sudah tersebar di beberapa negeri di Malaysia.

Kumpulan itu dipercayai aktif menyebarkan dakyah ajaran sesat melalui laman Youtube di bawah Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Mohd Arifin berkata, apa-apa ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunah Wal-Jamaah perlu dilaporkan kepada Jheains dan pejabat Mufti agar tindakan segera dapat diambil.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *