Tawau Rancang Pecah Rekod Jalur Gemilang Terpanjang

Foto Hiasan

TAWAU : Program mengibarkan Jalur Gemilang terpanjang bakal diadakan di daerah Tawau bagi memecahkan rekod Jalur Gemilang terpanjang di negara ini, kata Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy.

Beliau berkata program pengisian sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu bakal melibatkan penduduk di daerah itu.

“Kami ingin memecahkan rekod kibaran Jalur Gemilang sepanjang 1.2 kilometer seperti tercatat dalam Malaysia Book of Records sebelum ini, kami mahu buat (rekod) lebih daripada itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Konvoi Kembara Keluarga Malaysia Sabah serta kempen kibar Jalur Gemilang peringkat daerah di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya dua program bersama komuniti diadakan di Kampung Tanjung Batu Laut dan Kampung Tanjung Batu Darat bagi memberi pendedahan dan kesedaran mengenai kepentingan menghargai Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia.

Sementara itu, ketua konvoi Razif Che Hashim berkata kembara itu akan melalui 43 checkpoint melibatkan 25 daerah dengan jarak perjalanan 2,150 kilometer yang disertai 17 kenderaan bersama 50 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan.

“Konvoi ini dijangka selesai mengelilingi Sabah pada 19 Ogos iaitu selama 10 hari,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *