BKM : RM718 Juta Diluluskan Untuk Penduduk Sabah – Arthur

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup.

NABAWAN : Sebanyak RM718 juta Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) telah diluluskan untuk 795,906 penduduk Sabah setakat ini dan jumlah itu tidak termasuk rayuan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Kurup.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM2.23 juta diperuntukkan kepada 9,036 penerima BKM di kawasan berkenaan.

Beliau berkata RM525,000 pula diperuntukkan kepada penerima BKM yang tiada akaun bank di daerah Nabawan dengan mereka menerima bantuan itu pada Program Hebatkan Pensiangan: Mobile Community Services (MCS) hari ini.

“Penerima BKM tiada akaun bank merekodkan penurunan tahun ke tahun, ini menunjukkan dengan akses perbankan melalui perkhidmatan BSN bergerak di Nabawan dan Sook serta kemudahan tiga mesin ATM di Sook, Keluarga Malaysia di Nabawan mula celik kewangan dan ramai penerima BKM telah berjaya membuka akaun simpanan.

“BKM ini merupakan inisiatif bantuan tunai langsung bagi membantu mereka yang memerlukan untuk bangun semula dalam pascapandemik dan meringankan beban kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan sempena program MCS hari ini.

Mengenai MCS, Arthur berkata program tiga hari bermula hari ini yang menjelajah Nabawan dan Pagalungan berjaya membawa 41 agensi kerajaan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk rakyat di kawasan pedalaman.

Beliau berkata antara perkhidmatan disediakan adalah pendaftaran lesen Kementerian Kewangan, pameran industri pembinaan, perkhidmatan kebajikan serta pelbagai program menarik untuk manfaat penduduk. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *