Tidak Puas Hati Ditegur, Lelaki Tetak Kepala Jiran Guna Parang

Rumah yang menjadi lokasi kejadian suspek menetak mangsa. – Foto PDRM

KOTA KINABALU : Tidak puas hati gara-gara ditegur, lelaki bertindak menetak warga emas dalam kejadian di Kampung Lok Kurai Selanggan, Pulau Gaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa berusia 73 tahun bagaimana terselamat tetapi mengalami kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, suspek berusia 45 tahun yang tidak bekerja adalah penagih dadah.

Katanya, ketika kejadian, suspek dikatakan mengganggu penduduk dengan membaling batu dan kayu ke rumah penduduk di kawasan itu, tanpa sebab.

“Mangsa cuba menegur perbuatan suspek dan ia dipercayai menyebabkan suspek berang sebelum balik ke rumah untuk mengambil sebilah parang.

“Suspek kemudiannya datang kembali dan terus menetak kepala mangsa sehingga luka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, melihat kepada keadaan kepala mangsa yang berdarah, suspek terus melarikan diri masuk ke dalam kawasan hutan berhampiran kampung berkenaan.

Katanya, mangsa pula dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan.

“Sebaik menerima maklumat, polis terus menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lok Urai, di sini, jam 4.30 petang.

“Sebilah parang sepanjang kira-kira 0.6 meter yang dipercayai digunakan suspek menyerang mangsa turut dirampas,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *