293 Lepasan SPM Daftar Di PPST UMS

Gambar Universiti Malaysia Sabah

KOTA KINABALU, 10 Ogos : Seramai 293 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas mendaftar sebagai pelajar asasi di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi sesi kemasukan 2022/2023.

Pengarah PPST Prof Dr Jumat Sulaiman berkata jumlah itu dijangka bertambah selepas sesi pendaftaran rayuan pelajar pada 29 Ogos ini.

Beliau berkata semua pelajar asasi berkenaan berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke fakulti UMS yang menawarkan program berteraskan sains dan teknologi.

“Saya menyeru kepada kepada semua pelajar untuk menjadikan Pusat Asasi ini sebagai landasan persediaan sebelum menempuh pengajian yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis lafaz ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu Program Asasi  sesi 2022/2023 di UMS di sini hari ini.

Jumat berkata sehingga tahun lepas, PPST yang menawarkan dua program asasi iaitu Program Pengajian Asasi Sains dan Asasi Teknologi Maklumat telah melahirkan 2,697 pelajar asasi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Raman Noordin yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UMS berkata majlis suai mesra (MSM) itu diadakan buat pertama kali selepas dua tahun diadakan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19.

Beliau berkata selain pelajar dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung program itu turut disertai masing-masing seorang pelajar dari Indonesia dan Korea Selatan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *