7 Remaja, Kanak-Kanak Termasuk OKU Hilang Ditemukan Selamat Di Kota Belud

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah

KOTA KINABALU, 8 Ogos : Seramai tujuh remaja dan kanak-kanak yang tiga daripadanya Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan selamat pagi tadi setelah dilaporkan hilang di Kampung Kebayau, Kota Belud malam tadi.

Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa termasuk empat beradik iaitu Freddy Kerinsuk, 15; Arni, 13; dan Alistar, 9, merupakan OKU kategori masalah pembelajaran bersama adik mereka Royce, 3; manakala tiga lagi Mecklorn Datine, 12; Elson Evan Lie Willie, 11; dan Elcy Jackter, 5.

“Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud menerima maklumat daripada orang awam pada 10.49 malam tadi mengenai kejadian itu dan menurut saksi kumpulan itu kali terakhir dilihat bermain sekitar kedai runcit di kampung itu pada 3 petang.

“Semua mangsa telah berjaya ditemukan oleh penduduk kampung bersama pasukan bomba di kawasan kebun di kampung itu dalam keadaan selamat pada 7.30 pagi tadi dalam operasi mencari dan menyelamat,” menurut kenyataan itu.

Operasi ditamatkan pada 9.30 pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu Lery Joba Midih berkata mangsa ditemukan sekitar empat kilometer dari Kampung Kebayau dalam keadaan selamat, namun dalam keadaan lemah.

“Mereka memberitahu mahu pergi melihat satu kawasan pembinaan jalan berhampiran Kampung Kubang namun dalam perjalanan balik hari semakin gelap dan mereka tersesat masuk ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *